Bab 1 – Pengenalan

Bab 1

Pengenalan

1.1       PENGENALAN

Kajian ini merupakan satu kajian yang mengkaji dialek sesuatu masyarakat bagi sesebuah daerah yang dipilih. Dialek dipengaruhi oleh isoglos. Dalam kajian ini, dialek yang telah dipilih iaitu dialek Kelantan.  Faktor utama kajian ini adalah pengkaji sendiri berasal dari daerah Kelantan dan mempunyai kepakaran dan penguasaan yang baik dalam dialek Kelantan.

Kajian ini memberi tumpuan terhadap perbandingan  dialek Kelantan dengan bahasa Melayu standard berdasarkan aspek pembentukan kata.

Terdapat beberapa aplikasi komputer yang akan digunakan seperti “antconc”, “survey monkey” dan “soundcloud” supaya hasil dapatan kajian tepat. Data-data yang diperoleh dari soal selidik dan temubual akan dianalisis. Selepas semua data dianalisis, dapatan kajian akan dipaparkan dalam “wordpress” sebagai pembuktian dan akan dinilai oleh penilai melalui aplikasi ini.

 

1.1.1 PENGENALAN DIALEK KELANTAN

Dialek Kelantan merupakan dialek Melayu  yang paling banyak mempunyai beza sebutan dari dialek-dialek di Semenanjung. Selain sebutan baku, dialek Kelantan juga mempunyai banyak perkataan yang berbeza. Dialek Kelantan ialah salah satu daripada beberapa dialek bahasa Melayu yang dituturkan oleh penutur-penutur yang berasal dari dan menduduki negeri Kelantan atau penutur-penutur yang dilahirkan dan bermastautin di sebuah negeri, di luar negeri Kelantan tetapi mewarisi dialek Kelantan daripada ibu bapa atau penjaganya yang berasal dari negeri Kelantan.

Dialek Kelantan mempunyai sifat-sifat yang berbeza dengan beberapa dialek Melayu yang lain, sehingga ada anggapan bahawa Dialek Kelantan sebagai satu dialek yang luar biasa dan sukar untuk difahami oleh penutur yang menggunakan dialek lain (Nik Safiah Karim, 1981). Hal ini ada kebenarannya kerana terdapat banyak sekali perkataan atau unsur leksikal dalam dialek Kelantan yang sama sekali tidak wujud dalam bahasa Melayu atau dalam dialek Melayu yang lain di Semenanjung Malaysia. Antaranya ialah (1) kata-kata yang terdiri daripada satu suku kata, (2) kata-kata yang sama tetapi berbeza erti antara dialek Kelantan dengan bahasa Melayu, (3) kata-kata daripada bahasa Melayu yang disesuaikan dalam dialek Kelantan, dan (4) kata-kata yang ada dalam dialek Kelantan tetapi tidak ada dalam bahasa Melayu (Abdul Hamid Mahmood, 2006).

 

1.1.3 GEOGRAFI DIALEK KELANTAN

Negeri Kelantan merupakan salah satu negeri yang terdapat di Malysia. Kelantan Darul Naim merupakan negeri yang unik. Dilihat daripada perspektif sejarah pemerintahan, Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang diperintah oleh Raja perempuan iaitu Tuan Puteri Cik Siti Wan Kembang. Oleh sebab itulah sehingga kini Kelantan masih digelar denan nama Negeri Cik Siti Wan Kembang. Negeri Kelantan terdiri dari beberapa daerah, seperti juga negeri-negeri lain di Malaysia. Daerah-daerah itu ialah Kota Baharu, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Ulu Kelantan, Pasir Putih  dan Bachok.  Bagaimanapun, seperti yang dilihat, pembahagian subdialek-subdialeknya tidak perlu menurut perbatasan daerah-daerah itu. Ada subdialek yang melampaui perbatasan daerah-daerah itu, dan ada daerah yang mempunyai lebih dari satu subdialek.

Di sekeliling kawasan dialek Kelantan, terdapat kawasan Melayu Thailand (atau yang lebih yang dikenali sebagai dialek Petani), kawasan dialek Pahang, kawasan dialek Terangganu dan kawasan dialek Perak. Dengan itu, kita akan dapati bahawa di kawasan-kawasan sempadan ini terdapat percampuran dialek Kelantan dengan dialek lain. Kawasan Besut di  Terengganu, misalnya, merupakan salah satu contoh yang baik sebagai kawasan yang memperlihatkan campur aduk ciri-ciri dialek Kelantan dan dialek Terengganu.

 

1.2      PERNYATAAN MASALAH.

Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti aspek linguistik dalam penutur natif dialek Kelantan dan sekaligus membuat perbandingan mengenai persamaan dan perbezaan aspek linguistik dalam dialek Kelantan dan bahasa Melayu standard. Terdapat kajian lepas yang telah mengkaji mengenai dialek Kelantan, akan tetapi skop dan batasan kajian tidak tertumpu pada satu ruang lingkup kawasan sahaja. Kajian yang saya lakukan adalah berdasarkan satu kawasan sahaja iaitu di Pasir Mas dan mengkaji mengenai dialek penutur natif bagi kawasan tersebut. Kajian saya meliputi pembentukan kata yang diujarkan oleh penutur natif dialek Kelantan di Pasir Mas, Kelantan. Selain itu, mengkaji pembentukan kata yang diujarkan oleh penutur natif dialek Kelantan. Seterusnya, membezakan cara sesuatu perkataan yang dibunyikan oleh penutur natif dialek Kelantan dengan bahasa standard. Di samping itu, membezakan strukutur pembentukan ayat dalam dialek Kelantan dengan Bahasa Melayu Standard, mengenalpasti cara penutur dialek Kelantan menggunakan dialek mereka dalam situasi tertentu dan mengenalpasti setiap makna yang diujarkan oleh penutur natif dialek Kelantan yang mempunyai maknanya  yang tersendiri. Hasil kajian yang diperoleh akan dipaparkan dalam wordpress ini.

 

1.3 SOALAN KAJIAN

1. Apakah perbezaan sebutan antara dialek Pattani dengan Bahasa Melayu Standard?

 

1.4      DEFINISI ISTILAH

1. Dialek- bahasa pertuturan seharian dan berbeza-beza mengikut sesuatu tempat atau daerah.

2. Isoglos- garis yang dilakar di sekeliling satu kawasan yang mempunyai ciri sebutan, tatabahasa atau kosa kata tertentu yang serupa.

3. Loghat- ialah kelainan dalam sesuatu bahasa yang menjadi ciri satu golongan tertentu dalam kalangan penutur bahasa itu.

4. Pembentukan Kata – Pembentukan kata ialah proses membentuk sesuatu perkataan. Perkataan dalam sesuatu bahasa mengandungi bentuk. Yang dikatakan bentuk perkataan ialah rupa unsur tatabahasa. Perkataan dalam bahasa Melayu dapat dijeniskan kepada empat bentuk, iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata ganda, dan kata majmuk.

5. Pengimbuhan – Pengimbuhan ialah satu proses menerbitkan perkataan dengan mencantumkan satu atau lebih imbuhan kepada sesuatu bentuk dasar. Imbuhan tersebut bolehlah diletakkan di depan bentuk dasar, di belakang bentuk dasar, di depan dan di belakang bentuk dasar sekali gus atau disisipkan ke dalam bentuk dasar. Di dalam bahasa Melayu terdapat beberapa jenis imbuhan, iaitu:

6.  Fonetik- Menurut Kamus Dewan (1996:354), fonetik ialah ilmu bahasa (linguistik) yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya. Manakala mengikut Merriam Webster’s Collengiate Dictionary tenth edition (1996:873), fonetik dikatakan sebagai “the system of speech sounds of a language or group of languages”.

7. Fonologi- Menurut kamus dewan, fonologi merupakan kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa (1996:354). Dalam Merriam Webster’s Collegaite Dictionanry tenth edition (1996:874) fonologi dihuraikan sebagai “the science of speech sounds including, especially the history and theory of sound changes in a language or in two or more related languages”. Mengikut Kamus Linguistik (Harimurti Kridalaksana,1984:51) memberikan definisi fonologi sebagai bidang dalam linguistik yang menyelidiki bunyi-bunyi bahasa mengikut fungsinya.

8. Fonem- Fonem ialah unit bahasa terkecil yang berfungsi. Satu unit ujaran yang bermakna, atau perkataan, terdiri daripada beberapa unit bunyi, misalnya kata malu. Kata ini terdiri daripada empat unit bunyi, iaitu m, a, l, u. Unit-unit bunyi ini dipanggil fonem, iaitu unit terkecil yang berfungsi. Jika m diganti dengan l, maka malu akan bertukar menjadi lalu.

Oleh itu, dan adalah unit terkecil yang berfungsi kerana unit itu membezakan maksud ujaran. Dalam BM sesuatu fonem mempunyai ciri fonetik yang sama tetapi berlainan bunyi apabila hadir pada kedudukan yang berbeza.

9. Konsonan-  Ialah bunyi selain dari bunyi vokal. Konsonan terhasil apabila terdapat gangguan atau halangan oleh alat artikulasi terhadap udara dari peparu. Konsonan terdiri daripada konsonan bersuara dan konsonan tidak bersuara. Konsonan bersuara bermaksud konsonan yang terhasil apabila tekanan udara yang keluar dari peparu menggetarkan pita suara manakala konsonan tidak bersuara adalah konsonan yang terhasil apabila udara dari peparu tidak menggetarkan pita suara. Dalam bahasa Melayu konsonan terbahagi kepada 2 iaitu konsonan asli dan konsonan pinjaman. Konsonan asli bahasa Melayu merupakan konsonan yang sedia ada dan diguna oleh penutur bahasa Melayu tanpa sebarang perlakuan adaptasi oleh penutur.

10. Vokal- Terdapat empat vokal depan dalam bahasa Melayu iaitu [i], [e], [ɛ] dan [a] manakala tiga Vokal belakang iaitu [u], [o] dan [כ] dan satu vokal tengah, iaitu [ə]. Bunyi-bunyi vokal ialah bunyi-bunyi bahasa yang bersuara yang ketika menghasilkannya udara dari paru-paru keluar berterusan melalui rongga tekak dan rongga mulut tanpa mendapatkan sebarang sekatan atau geseran. Manakala penghasilan bunyi-bunyi vokal pula ditentukan oleh beberapa ciri tertentu iaitu, keadaan bibir sama ada dihamparkan atau dibundarkan, bahagian lidah yang terlibat sama ada depan lidah atau belakang lidah, turun naik lidah sama ada dinaikkan setinggi-tingginya, dinaikkan sedikit atau diturunkan, keadaan lelangit lembut, sama ada dinaikkan dan udara dari paru -paru keluar melalui rongga mulut sahaja ( menghasilkan bunyi-bunyi vokal atau oral) atau dinaikkan tetapi tidak rapat sehingga udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut dan juga rongga hidung ( menghasilkan bunyi-bunyi vokal yang disengauan) dan keadaan glotis dirapatkan dan semasa udara keluar dari paru-paru pita suara bergetar. Selain vokal terdapat juga separuh vokal, diftong dan vokal rangkap.

11. Suku kata – Adalah satu ujaran terkecil dari sebuah kata.Suku kata ini terdiri daripada satu vokal dan satu konsonan.Selain itu, suku kata ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu suku kata terbuka dan suku kata tertutup. Suku kata terbuka adalah kata suku kata yang diakhiri oleh vokal. Contoh: Yu-KV ,Aku-VKV, Dia-KVV, Saya-KVKV dan lain-lain.Suku kata tertutup ialah suku kata yang diakhiri oleh konsonan. Contoh: Untuk-VKKVK, Beg-KVK, Sampan-KVKKVK  dan sebagainya.

 

1.5       SKOP KAJIAN

Kajian ini dilakukan ke atas seorang individu yang merupakan penutur natif dialek Kelantan iaitu responden yang berasal dari Kota Bharu tetapi menetap di Pasir Mas selama 22 tahun.  Kajian ini telah dilakukan di Bandar Pasir Mas.

1.6       KESIMPULAN

Kesimpulannya, bab 1 ini membincangkan mengenai penyataan masalah, objektif kajian, soalan kajian, definisi istilah dan juga skop bagi kajian yang dijalankan. Berdasarkan perkara yang telah dinyatakan,  jelas menunjukkan bahawa kajian ini mmeperlihatkan perbezaan struktur ayat antara dialek Kelantan dengan bahasa Melayu standard.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s